KONSEP PINJAMAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
KONSEP PINJAMAN DALAM ISLAM |
1) Al-'ariyah merujuk kepada pinjaman yang melibatkan pemberian sesuatu barangan atau harta oleh pemberi pinjaman kepada peminjam bagi tujuan penggunaan manfaat barang atau harta tersebut secara percuma. |
Pinjaman secara 'ariyah hanya melibatkan barangan atau benda yang tidak musnah apabila digunakan yang boleh dikembalikan dalam keadaan asal misalnya kereta, telefon bimbit, baju dan buku. |
Sekiranya barang tersebut merupakan barang yang mudah musnah atau susut nilai seperti sabun, maka akad pinjaman tersebut tidak sah. |
|
2) Al-qard ialah pinjaman yang melibatkan pemindahan pemilikan barangan atau komoditi yang boleh dianggarkan dan diganti mengikut bilangan, sukatan atau timbangan. |
Ia juga merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan. |
Sebarang tambahan terhadap barang atau wang yang diberi pinjam adalah ditegah dalam Islam kerana is dianggap sebagai riba. |
|
Al-Qard dikategorikan sebagai akad tabarru' iaitu kontrak yang berteraskan kepada konsep kebajikan. |
GEJALA CETI HARAM
Kegiatan ceti haram atau ah long secara jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana perkhidmatan pinjaman kewangan yang ditawarkan mengandungi unsur riba. |
Bagi memerangi kegiatan ceti haram, kerajaan mengambil tindakan berterusan untuk mengawal dan memantaunya menerusi usahasama dengan pelbagai agensi. |
Antara langkah yang diambil ialah melalui tindakan memberhentikan pemberian lesen kepada peminjam wang berlesen, kempen kesedaran, khidmat nasihat dan usaha besar-besaran menurunkan iklan ah long di kawasan-kawasan perumahan. |
BANTUAN KEPADA ASNAF AL-GHARIMIN
Pada ketika inilah, pemerintah khususnya kerajaan negeri melalui institusi zakat memainkan peranan yang besar dalam meringankan beban yang dihadapi oleh golongan yang dibelenggu hutang atau asnaf al-gharimin. |
Fungsi institusi zakat begitu signifikan bagi mewujudkan keseimbangan dalam aspek sosial dan ekonomi dalam masyarakat iaitu golongan yang berkemampuan mengeluarkan zakat bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. |
Sebagai contoh, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui Bahagian Baitulmal setiap tahun telah mengkhususkan sejumlah peruntukan bagi membebaskan asnaf al-gharimin daripada belenggu hutang. |
Antara kriteria yang diberikan perhatian dalam proses agihan ialah golongan ini terpaksa berhutang atas faktor-faktor untuk memenuhi keperluan asas kehidupan misalnya membeli makanan dan bagi tujuan perubatan. Tidak termasuk dalam kategori di atas ialah orang yang berhutang dengan pihak institusi kewangan seperti bank dan koperasi memandangkan golongan ini dianggap berkemampuan. |
|
|
LARANGAN RIBA
Larangan terhadap riba adalah jelas berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 |
"Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." |
Banyak hadith Rasulullah SAW yang menggambarkan ketegasan Baginda dalam memerangi amalan riba. Malah Baginda melaknat orang yang memakan riba, orang yang menjadi agen, orang yang mencatat transaksi tersebut serta orang yang menjadi saksi dan Baginda menyatakan dosa yang ditanggung oleh mereka adalah sama sahaja |
"Rasulullah SAW mengutuk penerima riba, pemberi riba, pencatat dan dua orang saksi dan Baginda bersabda: Mereka semuanya adalah sama dalam melakukan dosa." |
PRINSIP-PRINSIP UMUM KETIKA BERHUTANG
i) Setiap hutang yang dibuat hendaklah ditulis bagi memastikan pihak-pihak yang berkontrak khususnya penghutang menyedari komitmen dan obligasi masing-masing untuk membayar kembali hutang tersebut dan merekodkan pembayaran yang dibuat bagi mengelakkan berlakunya penipuan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 282: |
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah is menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah is bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu." |
ii) Tidak boleh mengenakan sebarang bayaran tambahan terhadap pinjaman yang diberikan atas sebab kelewatan membuat pembayaran balik hutang meskipun telah dipersetujui atau disyaratkan di awal kontrak. |
iii) Kepentingan menyelesaikan semua hutang turut disyaratkan dalam perwarisan iaitu sebelum sesuatu harta pusaka dibahagikan secara faraid, segala hutang piutang si mati hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. |
iv) Hutang merupakan hak individu tertentu yang wajib dipulangkan dalam tempoh sebagaimana yang dijanjikan. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa perbuatan melengah lengahkan hutang merupakan suatu kezaliman. Sabda Baginda SAW: "Orang yang melengah-lengahkan penjelasan hutang sedang dia berkemampuan berbuat demikian adalah seorang yang zalim". |
PRINSIP AL-QARD AL-HASAN
Secara umumnya, perkataan al-qard al-hasan bermaksud pinjaman yang baik. la merupakan manifestasi keprihatinan seseorang untuk melakukan kebajikan dengan membantu saudaranya yang berada dalam kesempitan khususnya dalam aspek kewangan. |
Dalil pensyariatan Hukum pelaksanaan al-qard al-hasan adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT, hadith Rasulullah SAW dan ijma' para fuqaha'. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 245: |
"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." |
Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT mengiktiraf orang yang memberikan pinjaman secara al-qard bagi tujuan meringankan beban orang yang memerlukan. Tindakan tersebut diibaratkan seumpama memberi pinjaman ke jalan Allah SWT serta dijanjikan balasan yang berlipat ganda. |
AL-QARD AL-HASAN SEBAGAI INSTRUMEN PENJANA SOSIO EKONOMI UMMAH |
Pelaksanaan skim perkhidmatan pemberian hutang atau pinjaman wang secara qard hasan telah diaplikasikan oleh beberapa institusi dan agensi di Malaysia. |
Skim pembiayaan secara mikrokredit dilihat dapat membantu proses penjanaan pendapatan secara tetap kepada golongan yang berpotensi untuk meningkatkan taraf hidup mereka di samping menjadi pemangkin untuk memajukan sektor ekonomi tertentu khususnya industri kecil dan sederhana. |
Antara agensi yang menawarkan skim pinjaman secara qard hasan ialah Amanah Ikhtiar Malaysia dan beberapa koperasi Islam di negara ini. |
Prinsip qard hasan juga digunakan secara meluas dalam skim pajak gadai Islam atau al-rahnu di Malaysia yang ditawarkan oleh koperasi dan bank |
Selain itu, terdapat juga beberapa institusi kewangan dan koperasi di Malaysia yang menawarkan skim pinjaman kewangan dan pembiayaan untuk menunaikan haji atau umrah meskipun tidak semua pinjaman tersebut adalah berlandaskan kepada prinsip qard hasan |
|
|
HUKUM AL-QARD AL-HASAN
Hukum pelaksanaan qard hasan adalah sunat berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW dan juga ijma‘ para fuqaha'. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud, Rasulullah SAW telah bersabda bahawa seorang muslim yang memberikan pinjaman wang atau hutang (qard) sebanyak dua kali adalah seperti bersedekah sekali . "Sesiapa daripada kalangan muslim yang memberikan pinjaman kepada muslim yang lain sebanyak dua kali, ganjarannya seperti melakukan sedekah sekali." |
Malah terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh Anas bahawa Rasulullah SAW telah bersabda "Pada malam aku diisra'kan (mi'raj) aku melihat tulisan di pintu syurga, pahala sedekah ialah sepuluh kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jibril menjawab kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaaan meminta sedang dia mempunyai harta, sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan." |
Berdasarkan kepada hadith di atas, hukum memberi hutang kepada seseorang yang memerlukan adalah sunat manakala harus bagi seseorang untuk berhutang bagi tujuan untuk membebaskan dirinya daripada kesempitan hidup. |
RUKUN AL-QARD
1. Pemiutang (orang yang memberikan pinjaman) (a) Seorang ahli tabarru yang boleh menguruskan harta, berurus niaga (ahliyyah al-mu'amalah) dan memiliki harta tersebut. Bukan seorang yang gila atau kanak- kanak atau mahjur 'alaih iaitu orang yang disekat daripada menguruskan harta disebabkan safih (bodoh dalam hal ehwal pengurusan harta). (b) Tiada unsur paksaan (redha) |
2. Penghutang/peminjam (a) Bukan seorang yang mahjur 'alaih kerana safih, orang gila atau kanak-kanak. Bagi kanak-kanak dan anak-anak yatim, mereka harus meminjam sekiranya mempunyai wali yang boleh menguruskannya. Imam Subki berpendapat bahawa mereka hanya boleh meminjam sekiranya terdapat darurah dan jika sebaliknya, maka pinjaman itu terbatal. (b) Tiada unsur paksaan (redha) (c) Berkemampuan untuk membayar balik pinjaman yang dibuat. |
3. Barang yang dipinjam (a) Fuqaha' berselisih pendapat tentang barang-barang yang sah diberi pinjam atau hutang. Fuqaha' mazhab Hanafi mengatakan sah berhutang barang-barang mithliy (yang mempunyai unit yang serupa di pasar) iaitu yang boleh disukat, ditimbang dan dibilang dan mempunyai saiz yang hampir serupa seperti wang, telur, buah kelapa dan sebagainya. (b) Manakala fuqaha' mazhab Maliki, Syafi'i dan Hanbali mengatakan harus diberi hutang bagi barang-barang yang boleh disukat atau ditimbang seperti emas, perak dan makanan termasuk barang-barang qimiy seperti batu permata. Walaubagaimanapun, pandangan yang asah/ rajih mengatakan barang-barang yang jarang atau sukar atau tidak boleh dipulangkan seperti batu permata adalah tidak sah dijadikan hutang |
4. Sighah -Mestiah mempunyai lafaz ijab dan qabul yang membawa maksud pemberian pinjaman dan hutang seperti "Aku membenarkan engkau meminjam RM100 dan hendaklah digantikan kembali wang ini. Kemudian hendaklah disusuli dengan lafaz penerimaan/persetujuan daripada peminjam. |
OBJEKTIF PELAKSANAAN AL-QARD AL-HASAN
1. Membantu golongan yang memerlukan. |
2. Merapatkan jurang perbezaan antara golongan yang kaya dan miskin melalui pengagihan kekayaan dan sumber dalam masyarakat. |
3. Memupuk semangat persaudaraan, keprihatinan, ehsan dan saling bantu membantu di kalangan umat Islam. |
4. Mengukuhkan sektor sosio ekonomi negara. |
KESIMPULAN
Islam merupakan agama yang telah menyediakan hamparan jalan kehidupan yang syumul dengan menganjurkan umatnya bijak menguruskan kehidupan temasuk dalam aspek pengurusan kewangan. Meskipun Islam mengharuskan umatnya berhutang atau membuat pinjaman kewangan, namun tindakan tersebut tidak sewajarnya dijadikan sebagai amalan atau budaya melainkan dalam keadaan terdesak atau sangat memerlukan. |
Islam telah mensyariatkan instrumen pemberian pinjaman kewangan yang tidak membebankan pengguna menerusi prinsip al-qard al-hasan. Pelan pinjaman al-qard al-hasan wajar diketengahkan dan diperluaskan lagi pelaksanaannya sebagai salah satu asas dalam menggerakkan sistem ekonomi Islam yang bebas daripada elemen riba. |
|
Created By
Metadata
Comments
No comments yet. Add yours below!
Add a Comment
Related Cheat Sheets